Jalani terapi dengan hanya berbaring

Sebut arus elektrik, pasti ramai membayangkan bahaya dan risiko. Apa tidaknya, jika terkena elektrik, mangsa akan menghadapi dua risiko, cedera atau maut.

Bagaimanapun, kecanggihan teknologi memungkinkan arus elektrik digunakan untuk tujuan perubatan.

Melalui penggunaan terapi medan elektrostatik, arus elektrik membantu merawat sehingga menyembuhkan pelbagai penyakit, malah membantu mengekalkan bentuk badan.

Pelik? Barangkali terapi ini masih baru di kalangan masyarakat di negara ini, tetapi hakikatnya ia diguna pakai sejak ratusan tahun lalu.

Di negara luar, terutama Jepun, ia sudah lama digunakan dan diakui keberkesanannya, malah turut dipraktikan di klinik dan hospital.

Di Malaysia, manfaat daripada teknologi itu kini dinikmati masyarakat melalui pengenalan mesin terapi medan elektrostatik Dr Jism dan 'generasi kedua' Family Dr oleh Al-Jabbar Healthcare Sdn Bhd (Al-Jabbar).

Ketua Pegawai Eksekutif Al Jabbar Group, Kamaruzaman Che Hussain, berkata kaedah yang diguna pakai itu mudah dan selamat.

Beliau berkata, arus elektrik yang dikawal mesin berkenaan dialirkan ke tubuh mengikut kesesuaian penyakit atau masalah kesihatan individu dalam tempoh tertentu.

"Mesin berkenaan mempunyai kepelbagaian fungsi yang menggunakan arus elektrik untuk membantu mengawal penyakit dan mengekalkan kesihatan di tahap terbaik.

"Dr Jism mengetengahkan fungsi voltan tinggi, voltan negatif, voltan rendah, tenaga gelombang ringan dan pengionan negatif.

"Family Dr pula pula mempunyai fungsi voltan tinggi, voltan negatif serta pengionan negatif.

"Mesin itu membantu membersihkan saluran darah, menyelaraskan sistem saraf tidak terkawal dan meningkatkan daya ketahanan badan. Kesimpulannya, ia membuang kekotoran dalam badan," katanya.

Penggunaan voltan tinggi berfungsi dalam membantu merawat pelbagai penyakit.

"Penggunaan fungsi voltan tinggi mempunyai tiga tahap iaitu tinggi, sederhana dan rendah. Pemilihan tahap voltan bergantung kepada keadaan pesakit.

"Jika memilih tahap tinggi iaitu 9000 voltan, ia menggegarkan saluran darah untuk kadar 60 gegaran dalam satu saat. Umpama menggugurkan daun kering daripada sebatang pokok, ia mudah membersihkan saluran darah," katanya.

Fungsi voltan negatif pula lebih kepada membantu mengembalikan tenaga dan mampu membuatkan seseorang itu dalam keadaan segar sentiasa.

Katanya, arus elektrik digunakan tidak menggegarkan, sebaliknya 'menangkap' toksik dalam badan sebelum dikeluarkan menerusi proses pembuangan air besar atau kecil.

"Untuk fungsi ketiga iaitu voltan rendah, penggunaannya membantu mengekalkan tahap kesihatan dan mampu membuatkan seseorang itu segar sentiasa.

"Sesiapa yang tiada penyakit boleh menggunakan mesin itu," katanya.

Menurutnya, satu fungsi menarik Dr Jism ialah kemampuannya memecahkan lemak.

"Fungsi tenaga gelombang ringan cukup menarik kerana ia membantu dalam proses melangsing dan menguruskan badan. Testimoni mendapati dalam tempoh seminggu, seseorang itu mampu mengurangkan berat badan antara tiga hingga empat kilogram," katanya.

Mohd Faizal berkata, pengionan negatif pula berkesan dalam meneutralkan udara dengan pembebasan lima juta mitamin ke udara.

"Pesakit asma sangat sesuai menggunakannya. Alat pengionan negatif ini boleh disedut kerana ia turut berfungsi membebaskan oksigen dalam darah," katanya.

Beliau berkata, sesiapa yang ingin menggunakan terapi itu perlu menjalani pemeriksaan perubatan terlebih dulu bagi mengesahkan masalah kesihatan dialami.

"Mesin terapi ini boleh digunakan untuk tempoh 20 minit hingga sembilan jam 58 minit.

"Sebelum dan selepas menjalani terapi, pengguna perlu meminum sekurang-kurangnya 1.5 liter air kosong atau air beralkali.

"Begitupun, terapi itu dilarang kepada mereka yang mempunyai alat perubatan elektrik dalam tubuh seperti jantung tiruan dan mesin paru-paru. Pastikan anda mendapat nasihat doktor jika mengandung, demam atau ada penyakit berjangkit," katanya.

Mohd Faizal berkata, sesiapa yang mencuba terapi tidak perlu melalui proses rumit, sebaliknya hanya perlu memilih sama ada mahu duduk atau berbaring.

"Ia menjimatkan masa dan tenaga. Sambil tidur terapi boleh dilakukan," katanya.

Sementara itu, pengusaha bengkel kereta, Mohd Yusof Musa, 59, berkata selepas 10 bulan mencuba terapi berkenaan, ia membantu merawat masalah kesihatannya.

"Paling ketara, saya mampu tidur lena berbanding sebelum ini. Badan tidak lagi sakit. Saya mudah membuang air dan ia boleh merasakan kotoran tiada lagi dalam badan," katanya.

Suri rumah, Zaini Mohd Yunus, 47, berkata dia mampu membuat kerja rumah seperti menyapu dan mengemas selepas sembilan bulan mencuba terapi berkenaan.

"Sakit lutut dan tumit semakin berkurangan dan badan berasa ringan. Jika dulu pergerakan terbatas, selepas mencuba terapi itu, saya mudah bergerak," katanya.