Antabax basmi kuman

Produk penjagaan diri Antabax melancarkan rangkaian baru yang membasmi 99.9 peratus kuman untuk perlindungan sepanjang hari yang diperkaya dengan pelembap dan vitamin untuk kesihatan kulit dengan penampilan baru di samping memperkenalkan duta produk, penyanyi yang sudah memenangi berbagai anugerah, aktres dan usahawan, Ziana Zain yang juga seorang isteri dan ibu kepada empat anak pada majlis eksklusif di Pusat Beli Belah 1Utama, di sini hari ini.



Antabax adalah rangkaian produk penjagaan diri yang boleh diharapkan dalam memupuk gaya hidup sihat dan bersih untuk seisi keluarga.

Produk ini telah diuji secara dermatologi agar sesuai untuk semua jenis kulit dan boleh digunakan dengan kerap.

Rangkaian produk anti-bakteria terbaru ini termasuk sabun buku, cecair mandian, cecair pencuci tangan, cecair sanitasi tangan, tisu pelempab dan penyembur sanitasi tangan.

Ia terbukti memberikan pelindungan anti-bakteria sepanjang hari terutama ketika pengguna bimbang terhadap penularan wabak penyakit berjangkit serta keinginan mereka untuk mendapatkan perlindungan berkekalan daripada kuman.

Ia juga diperkaya dengan vitamin-vitamin penting bagi melembap dan menyegarkan kulit, menjadikannya amat sesuai bagi kegunaan seharian memenuhi keperluan gaya hidup masa kini yang sentiasa sibuk.

Penampilan baru rangkaian produk kini lebih kemas dan rapi melambangkan produk yang berkesan membasmi kuman tetapi lembut agar pengguna berasa lebih segar selepas menggunakannya.

Menurut Pengurus Pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd, Carmen Foo, usaha penjenamaan semula dan rumusan formulasi yang dipertingkatkan bagi produk ini mengambil masa lebih dua tahun, bermula daripada lakaran awal sehingga ke proses makmal, reka bentuk, prototaip, kajian pasaran, pengeluaran dan akhirnya dijual di pasaran.

Semua ini berpandukan kepada kajian konsumer yang berterusan serta kajian aliran pasaran bagi memenuhi keperluan dan tuntutan pengguna masa kini yang sentiasa berubah-ubah.

"Antabax sudah berada di pasaran sejak 2004 dan dalam tempoh yang agak singkat ia pantas berkembang menjadi kegemaran pengguna.

"Kami merasakan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan formula baru, dan kami percaya penampilan baru serta keberkesanan jenama produk ini, ia mampu mencerminkan peningkatan populariti barangan ini di pasaran sejajar dengan penerimaan positif pengguna," kata Foo.

Rangkaian Antabax baru ini memberi manfaat besar kepada kulit kerana ia mengandungi vitamin C, E, B3, B5 dan B6 yang bertindak sebagai bahan anti-oksida dan anti-radang bagi melembut dan melembapkan kulit.

Dalam pada itu jenama tersebut turut memperkenalkan duta produknya iaitu penyanyi terkenal, Ziana Zain yang juga ibu kepada empat anak.

Menurut Foo, penyanyi itu mewakili sebahagian daripada pengguna utama di kalangan wanita dan lelaki yang arif terhadap produk yang mereka perlukan.

"Golongan ini ini juga mementingkan penjagaan kesihatan serta kebahagiaan keluarga dan diri mereka, memberi fokus terhadap kualiti, nilai dan mengutamakan aspek manfaat yang dapat diraih daripada sesuatu produk," katanya.

Katanya lagi, sejak 20 tahun lalu, Ziana sentiasa memberikan yang terbaik sama ada untuk keluarga - selaku isteri dan ibu - atau dalam dunia hiburan ketika memberikan persembahan secara langsung, merakam lagu, berlakon, menjadi mentor untuk bakat baru atau sewaktu mengendalikan urusan perniagaan.

Ibu kepada dua anak lelaki yang aktif ini, Muhammad Aiman, 10 dan Muhammad Ammar Amin, 7 serta bayi kembar, Muhammad Arrel dan Siti Noor Kaseh, mengakui betapa dirinya begitu sukar untuk menyeimbangkan tuntutan keluarga dengan kerjaya terutama selepas anak sudah semakin besar dan mula berdikari ketika kariernya juga semakin memuncak.

"Sebaik saja anak saya yang sulung mencecah usia enam tahun, saya mencari produk penjagaan diri anti-bakteria yang lebih baik kerana dia begitu lasak, sentiasa bermain dengan macam-macam benda - pasir, lumpur, batu dan sebagainya - baik di dalam atau di luar rumah.

"Selain itu saya juga risau dia mendapat jangkitan daripada kanak-kanak lain sewaktu di tadika atau di rumah terutama disebabkan kanak-kanak suka berkongsi patung, mainan dan alat pembelajaran," jelas Ziana.

Dia sudah mencuba beberapa jenama anti-bakteria terkemuka lain tetapi bau ubat yang kuat tidak digemari oleh anggota keluarganya sebelum akhirnya membeli jenama import tetapi ia agak mahal terutama apabila jumlah anggota keluarga semakin bertambah.

"Kira-kira dua tahun lalu, saya mencuba produk Antabax di rumah salah seorang rakan baik saya dan berasa ia cukup bagus dan harum. Kami menggunakan lebih banyak jenama ini kerana ia mempunyai perlindungan anti-bakteria serta memiliki ramuan penjagaan kulit yang berkesan bagi memastikan kami terus sihat dan bebas daripada kuman," kata Ziana.