Ramadan ini, banyak premis menyedaikan pelbagai sajian bufet Ramadan termasuk Pusat Karaoke Red Box Ria di kompleks beli-belah Sogo Kuala Lumpur, tidak ketinggalan menyajikan menu istimewa berbuka puasa pada harga RM35++ untuk seorang.
Pelbagai hidangan Melayu tradisional disediakan, termasuk udang sambal petai, ketam percik, kepak ayam goreng berempah, ayam panggang santan berlada, kerang rebus, sotong goreng tepung, lala goreng pedas, udang lemak cili padi dan gulai kawah daging.
Sudah menjadi tradisi Red Box menawarkan hidangan lazat berbuka puasa bagi memeriahkan sambutan Ramadan.
Buat kali kedua, Red Box bekerjasama dengan chef terkenal Unilever Food Solutions, chef Faizul Hazly, yang menggunakan bahan masakan asas produk syarikat terbabit dalam setiap hidangan.
Menurut Faizul, untuk tahun ini pihaknya mempelbagaikan jenis nasi kerana pada waktu berbuka, orang ramai lebih memilih nasi sebagai hidangan utama.
"Sebanyak 10 jenis nasi kami sajikan, termasuk nasi bumbu, nasi planta serai wangi dan nasi goreng bumbu," katanya.
Selain itu, hidangan barat juga disediakan, termasuk paha kambing dan daging lembu dengan sos mint, tidak ketinggalan pencuci mulut seperti air batu campur, manisan, tembikai susu serta pelbagai jenis kuih muih tra disional Melayu.
Pengunjung juga boleh menikmati hidangan air panas dan sejuk tanpa had, malah ais krim dan kudapan turut disediakan secara percuma.
Penggunaan bilik khas selama empat jam pasti menjadikan waktu berbuka puasa pengunjung lebih selesa selain kemudahan surau di tingkat bawah kompleks beli-belah Sogo.
Bagi pengunjung yang datang secara berkumpulan, beberapa pakej istimewa disediakan, iaitu pakej untuk 5+1 (iaitu lima orang percuma seorang) ialah RM208++, pakej 10+2 (RM408++) dan pakej 15+3 (RM608++).
Selain menikmati juadah enak, pengunjung juga berpeluang menyertai peraduan menarik yang menawarkan pelbagai hadiah seperti pertandingan merebut hamper produk Unilever bernilai RM3,000 dan sampul raya percuma di mana pemenang akan dipilih secara rawak.
Red Box turut menyediakan kad ucapan Aidilfitri pada harga RM3 yang urusan penghantaran kepada penerima diuruskan Red Box. Setiap RM2 hasil jualan kad berkenaan disumbangkan kepada badan kebajikan ibu tunggal, Yayasan Nur.