Breast Cancer Support Society Segamat (BCSS)

Sikap kurang peka, malu, tidak menjaga pemakanan serta gagal menerima kenyataan antara faktor statistik kematian wanita Melayu akibat barah payudara semakin meningkat.

Lebih dikesali, ada di kalangan wanita Melayu gemar mendapatkan khidmat bomoh bagi merawat penyakit terbabit.

Pengerusi Breast Cancer Support Society Segamat (BCSS), Maria Kinson berkata, bagi memastikan setiap penghidap barah itu sedar berkaitan apa sedang mereka hadapi, pihaknya turut memberi kaunseling untuk berkongsi tip serta perkara berkaitan yang dapat membantu meringankan beban golongan berkenaan.

"Sejak ditubuhkan pada 2005, keahlian BCSS kini mencecah 464 orang terdiri daripada pelbagai kaum serta peringkat umur juga pendidikan.

"Daripada jumlah itu, 78 ahli sudah meninggal dunia dan majoritinya wanita Melayu manakala 170 lagi berjaya dirawat," katanya.

Menurut Maria, daripada 170 yang sembuh, 115 adalah wanita Cina, Melayu (49) dan enam India manakala keahlian mengikut pecahan kaum pula ialah 257 Cina, Melayu (166), India (36) dan empat kaum lain.

Beliau berkata, bagi wanita yang sudah membuang payudara akibat penyakit itu, mereka boleh memohon bantuan payudara tiruan diperbuat daripada silikon.

Maklumat lanjut berkaitan BCSS, sila hubungi talian 07-9325228.