Diploma Kecantikan dan Kesihatan di Geomatika

Minat mendalam terhadap bidang kecantikan tidak lagi menjadi masalah kepada lepasan sekolah yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang itu kerana Geomatika College International (Geomatika) menawarkan program Diploma Kecantikan dan Kesihatan.

Selaras perkembangan pesat bidang berkenaan di Malaysia ketika ini, penawaran program itu mampu melahirkan lebih ramai pakar dalam industri berkaitan sekali gus menangkis persepsi negatif sesetengah pihak yang memandang rendah bidang penjagaan kecantikan.

Bertujuan meningkatkan profesionalisme bidang terbabit seperti di negara maju yang melesenkan pakar kecantikan sebelum menawarkan perkhidmatan, program berkenaan mendapat perakuan akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menerusi program ini, graduan bakal mempunyai peluang kerjaya yang luas kerana karier mereka tidak terhad di salun, tetapi juga sebagai usahawan dan pembangun produk kecantikan, malah menjadi tenaga pengajar di pusat yang menyediakan program latihan dan pendidikan bidang berkaitan.

Selain melatih pelajar mendalami sains kecantikan, program berkenaan mendedahkan pelajar teknik dan kemahiran kecantikan oleh pakar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing antaranya perawatan wajah, spa dan tatarias.

Menurut Ketua Program berkenaan, Nurul Nadia, subjek seperti anatomi dan fisiologi, kosmetologi serta gizi dan nutrien yang terkandung dalam program pengajian itu melayakkan graduannya memberi konsultasi dan diagnosis perawatan kecantikan yang betul kepada pelanggan.

"Contohnya, pelajar berupaya menerangkan semula fungsi bahan kimia pada label yang terdapat di botol kosmetik untuk pengetahuan pelanggan mereka. Pengajian mereka turut dibantu kemudahan makmal kosmetologi yang disediakan di kolej.

"Pada tahun akhir pula, pelajar diterapkan dengan kaedah pengurusan salun, program keusahawanan serta latihan industri yang sekali gus menjadikan program diploma ini sebagai pakej lengkap dalam melahirkan ahli kecantikan profesional secara holistik dan tidak bergantung kepada satu kemahiran semata-mata," katanya.

Pensyarah Kolej Komuniti Cawangan Muar Johor, Amirah Yahya berkata, pembelajaran yang sistematik serta kemudahan peralatan terkini program Diploma Kecantikan dan Kesihatan di Geomatika memberi impak kepada kualiti graduan.

"Saya berbangga menjadi graduan Geomatika, malah percaya kejayaan saya hari ini adalah hasil keberkesanan pembelajaran di Geomatika.

"Ketika belajar, saya berpeluang melakukan praktikal di Astro bagi program Itu Dia, Raja Lawak dan Mari Menari, malah kami disediakan makmal biotek untuk membuat produk kecantikan sendiri, sangat menyeronokkan," katanya.

Program terbabit ditawarkan bagi tempoh pengajian selama enam semester iaitu tiga tahun dan pinjaman pendidikan disediakan dan diuruskan pihak kolej mengikut syarat yang ditetapkan pihak penaja.

Syarat kelayakan masuk bagi program terbabit adalah kredit bagi mana-mana tiga mata pelajaran termasuk lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).