Restoran Mek T meminjam konsep restoran makanan segera tetapi juadah yang disajikan ialah juadah asli Terengganu. Tidak seperti kebanyakan restoran yang menyajikan juadah tempatan dengan persekitaran tipikal, Restoran Mek T tampil berbeza dan seolah-olah memberi nafas baru dalam sajian juadah tradisi dalam persekitaran moden.
Pengurus Restoran Mek T, Celia Tam, berkata konsep asal Restoran Mek T tercetus apabila melihat keghairahan masyarakat yang gemar berkunjung ke restoran makanan segera di mana makanan disaji pantas dengan persekitaran selesa.
Lalu di hatinya timbul idea menggabungkan konsep makanan segera dengan juadah tradisi. Apa yang membezakannya ialah makanan disediakan sebaik saja menerima pesanan pelanggan.
Restoran Mek T memberi anda rasa sebenar juadah tradisi Terengganu dengan setiap masakannya menggunakan 100 peratus perasa asli dari resipi turun temurun.
Antara makanan istimewa yang disediakan ialah nasi dagang; nasi sedap sokmo; nasi ulam; laksam; laksa; rojak betik; keropok lekor dan pelbagai jenis kuih muih tradisi.
Menurut Celia, ada antara juadah yang disaji tidak boleh ditemui di Terengganu seperti rojak betik yang menggunakan isi ikan sebagai bahan utama dalam kuahnya.
Ini mengembalikan semula nostalgia rojak betik yang banyak dijual pada era 1970-an dan 1980-an namun sukar didapati di Terengganu sekarang.
Begitu juga dengan nasi dagang dan nasi sedap sokmo atau lebih dikenali sebagai nasi minyak. Menggunakan beras yang berkualiti tinggi, apa yang membuatkan ia bertambah istimewa ialah ia dihidangkan bersama telur pindang.
Restoran Mek T yang menyediakan telur pindang setiap hari dengan campuran rempah ratus yang dipilih sendiri oleh tukang masaknya.
Anda juga boleh menikmati keropok lekor asli seperti di Terengganu selain sejenis lagi kudapan sama iaitu keropok lekor Cina atau Kar Pek Hu Sah. Keropok lekor ini tidak digoreng tetapi dikukus dan rasanya masih sama seperti keropok lekor biasa. Tetapi, ia perlu dimakan panas dan dicicah dengan sos pedas seakan-akan sambal.
"Makanan unik lain yang disediakan termasuk nasi lemak sambal istimewa. Kami menggunakan sambal ikan, berbeza dengan yang dijual di tempat lain. Selalunya di Terengganu kita akan dapat sambal ikan di perkampungan nelayan," katanya.
Alamat Restoran Mek T
Restoran Mek T
127, Jalan Kenari 23A,
Bandar Puchong Jaya,
Puchong, Selangor
Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari 11 pagi hingga 9 malam.