Pengurusan Bangunan dan Hartanah di UTAR

Menyedari prospek bidang pengurusan bangunan dan hartanah semakin meluas, Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Bangunan dan Hartanah (Kepujian) melalui Fakulti Perakaunan dan Pengurusan di Kampus Sungai Long bagi memenuhi keperluan industri dalam sektor itu.

Bagi melahirkan ramai pengurus berkaliber khususnya dalam industri hartanah, jurusan itu diperkenalkan bagi mempersiapkan graduan bidang berkenaan dengan pengetahuan berkaitan undang-undang dan kewajipan nilai moral sebelum melangkah ke dunia pekerjaan.

Pengenalan program itu dilihat berupaya menampung kekurangan modal insan yang berkebolehan untuk menyokong sektor itu dan pada masa sama penuntut dalam bidang berkenaan boleh membina kerjaya sebagai pengurus hartanah yang berjaya.

Penuntut didedahkan dengan maklumat serta pengetahuan asas yang luas merangkumi pelbagai bidang antaranya pengurusan, kejuruteraan, pemasaran, kewangan serta perspektif ekonomi untuk dimanfaatkan apabila berada dalam sektor berkenaan kelak.

Program terbabit turut memberi penekanan kepada projek kerja kursus dan peperiksaan bertulis bagi memastikan graduan mempunyai kebolehan teknikal serta berpengetahuan luas dalam hal berkaitan perkembangan sosioekonomi politik di Malaysia serta seluruh dunia.

Beberapa inisiatif lain dilaksanakan membabitkan projek penyelidikan bagi mendokong misi universiti untuk mencapai kecemerlangan antaranya melalui penciptaan pengetahuan, penemuan, dan inovasi berperanan mewujudkan pemikiran berteraskan penyelidikan di kalangan siswazah.

Berbeza daripada jurusan lain, program yang ditawarkan di Utar ini menekankan aspek pengurusan dan pemasaran memfokuskan kepada pengurusan bangunan, sekali gus membezakannya dengan ijazah lain yang berasaskan sains.

Utar menyasar menjadi universiti utama menerajui latihan dan pembangunan bagi graduan yang baru menamatkan pengajian serta berkelayakan dalam menguruskan bangunan, kediaman, komersial atau kompleks selain mampu menjadi penilai atau ejen hartanah.

Ditubuhkan pada 2002, Utar kini mempunyai 19,000 penuntut dan melahirkan lebih 21,000 graduan. Selain itu, institusi ini juga memegang rekod prestasi dengan lebih 97 peratus siswazah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, sekali gus menunjukkan program akademik ditawarkan memenuhi keperluan industri.

INFO

Maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan, sila hubungi Bahagian Promosi Program di talian 03-7958 2628, 05- 468 8888 dan 016- 2233 559, pertanyaan lanjut boleh dihantar melalui e-mel ke enquiry@utar.edu.my, atau layari laman web Utar www.utar.edu.my.