Info Buku: Empayar Melaka: Tradisi Agung Melayu

Empayar Melaka: Tradisi Agung Melayu
Kewujudan Melaka sebagai entiti politik dan kerajaan membawa makna sejarah yang besar dalam sejarah pembentukan Malaysia sehingga sekiranya mengkaji susur-galur pembentukan negara ini, ia wajib bermula dengan penubuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Menyingkap sejarah Melaka yang diasaskan oleh Parameswara, bangsawan Srivijaya dari Palembang sekitar 1400 hingga 1403, kerajaan itu bangun bukan hanya sebagai negara di persisiran pantai, sebaliknya tampil sebagai empayar gagah berdiri hampir 111 tahun lamanya dengan kedudukan yang strategik di sepanjang laluan perdagangan Selat Melaka.

Melaka ketika itu adalah pusat pertemuan pelbagai jenis budaya, agama dan perniagaan sehingga tidak hairanlah kebudayaan berkembang dan tamadun manusia menjadi subur, selain turut menjadi pusat perkembangan agama Islam dengan masyarakatnya yang kosmopolitan.

Rentetan kegagahan empayar itulah, memunculkan sekian banyak kisah kegagahan dan kehebatan pahlawan dan srikandi Melayu selain kebijaksanaan pemerintah Melayu zaman dulu.

Kekayaan dan keutuhan ekonomi menjadi faktor kekuatan dan hegemoni politik kerana daripada aktiviti perdagangan, muncul pula hubungan diplomatik dengan negara luar seperti China, manakala hubungan Melaka- Jawa turut tidak terlepas dibina atas sebab ekonomi.

Ini kerana Melaka ketika itu mengimport beras dari Jawa, manakala pulau itu pula mengeksport bahan mentah dari Gugusan Kepulauan Melayu ke Melaka.

Kehebatan dan kemajuan Melaka akhirnya menarik minat kuasa barat yang akhirnya menyaksikan tumbangnya empayar Melayu yang berusia ratusan tahun.

Namun, sejarah Melaka hanya tinggal di buku sejarah dan dikaji oleh pelajar sekolah sehingga kini belum ada sebuah buku ilmiah tentang Kesultanan Melayu Melaka dan tidak hairanlah tulisan RJ Wilkinson dalam Jurnal Royal Asiatic society dan Malayan Branch masih kerap digunakan sebagai bahan rujukan.

Apabila Perbadanan Muzium Melaka dan kerajaan negeri berusaha menerbitkan buku Empayar Melaka: Tradisi Agung Melayu, ia amat dialualukan kerana buku edisi mewah setebal 358 halaman itu menghimpunkan tulisan dan kajian barisan ahli akademik terkemuka di Malaysia seperti Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Khim, Prof Abdullah Zakaria Ghazali dan Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Buku ini terbahagi kepada 11 bab merangkumi isu politik dan pentadbiran sehinggalah kewujudannya sebagai pusat kecemerlangan budaya Melayu Nusantara.

Setiap bab menggabungkan pelbagai aspek dan kemajuan yang dicapai dalam tempoh kewujudannya sebagai empayar yang tidak hanya berdasarkan sudut politik, bahkan turut menyentuh budaya, bahasa, agama dan etnografi.

Tidak hanya padat dengan kajian akademik, buku ini juga disertakan dengan gambar dan grafik berkaitan menjadikan ia sebagai sebuah rujukan tentang Melaka yang agak lengkap.

Justeru, Melaka adalah Empayar Kesultanan Melayu, tokoh-tokoh Melaka seperti Hang Tuah dan Tun Perak dijulang sebagai ikon kehebatan pahlawan Melayu.

Lalu tidak hairan melihat, nama Hang Tuah turut diabadikan di institusi pengajian tinggi di negara jiran, manakala Melaka kini masih gah berdiri sebagai negeri dalam Malaysia.

Kehebatannya sebagai empayar masih dikenang dengan faktor kejayaan dan kejatuhan Melaka sudah dikaji dan diketahui umum, terpulang kepada generasi pemimpin hari ini untuk mengambil iktibar.

Empayar Melaka: Tradisi Agung Melayu adalah bahan rujukan yang baik bagi mereka yang mahu melihat Melaka bukan hanya sebagai negara perdagangan, bahkan pusat kebudayaan dan ketamadunan bernama Melayu.

11 sarjana, sejarawan

SERAMAI 11 sarjana dan sejarawan menyumbang dalam buku ini yang diselenggara oleh Prof Emeritus Dr Mohd Yusoff Hashim yang kini menjawat Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), sekali gus banyak menulis dan membuat kajian terutama tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim ikut menulis dalam buku ini, iaitu tokoh sejarawan yang terkemuka dan dihormati. Beliau dianggap pakar rujuk sejarah Malaysia dan penulis buku akademik, esei dan monograf sejarah yang sangat prolifik.

Prof Datuk Dr Zainal Kling dilahirkan di Melaka, pada 27 November 1944, iaitu zaman penamat pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan kini sebagai Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN).

Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali pula adalah Ketua Jabatan Penyelidik Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM).

Penyumbang lain ialah Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin, Dr Arba'iyah Mohd Nor, Dr Khasnor Djohan, Dr Mohd Supian Sabtu, Fazurah Mustafa, Baharam Azit dan Mardiana Nordin.


Empayar Melaka: Tradisi Agung Melayu

Editor: Prof Emeritus Dr Mohd Yusoff Hashim

Penulis: Gabungan 11 penulis

Penerbit: Perbadanan Muzium Negeri Melaka

Halaman: 358

Bintang: *****


Sumber:
Publication: BH
Date of publication: Mar 16, 2012